KUCHING: Umat Islam di Sarawak perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan selepas kelonggaran diberikan untuk menunaikan Solat Jumaat dan Solat Fardu di masjid dan surau.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, untuk tujuan tersebut, jawatankuasa pengurusan masjid dan surau juga perlu menetapkan SOP selaras dengan garis panduan ditetapkan kerajaan.
Menurutnya, SOP yang ditetapkan termasuk penjarakan sosial, pendaftaran jemaah, menyediakan cecair pencuci tangan dan jemaah perlu menggunakan pelitup muka.
“Pekeliling sudah ditetapkan termasuk arahan memendekkan khutbah dan doa selain tidak membenarkan jemaah berkumpul sebelum atau selepas menunaikan solat.
“Kita berharap umat Islam dapat mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan kerajaan kerana ia untuk menfaat kita bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebenaran menunaikan Solat Jumaat serta Solat Fardu di surau dan masjid, semalam.
Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, bilangan jemaah yang dibenarkan untuk menunaikan solat adalah bergantung kepada kapasiti masjid atau surau.
Sementara itu, mengenai kelonggaran untuk menyambut Hati Raya Aidiladha, beliau berkata, walaupun umat Islam boleh meraikan perayaan tersebut namun budaya ziarah menziarahi masih tidak dibenarkan.
“Buat masa ini kita masih belum mendapat garis panduan tetap mengenai ibadah korban.
“Apa yang pasti garis panduan masih sama seperti tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu tidak boleh berkumpul dan pengagihan daging korban dihantar terus kepada penerima tanpa perlu mengadakan majlis besar-besaran,” ujarnya.
Oleh Diyana Samsuddin