KUCHING, 1 November: Parti Tindakan Demokratik(DAP) Sarawak mengesahkan akan bertanding di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, dengan satu lagi kerusi iaitu Batu Lintang masih dalam pertimbangan.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, lima kerusi yang telah ditetapkan bagi kawasan Kuching ialah Padungan, Pending, Batu Kitang, Kota Sentosa dan Batu Kawa.
Katanya, Jawatankuasa DAP Sarawak turut mengesahkan keputusan untuk bertanding di dua lagi kerusi iaitu Opar dan Tasik Biru menerusi mesyuarat yang diadakan pagi tadi.
“Jawatankuasa DAP Sarawak pagi ini telah mengesahkan keputusan untuk bertanding di dua kerusi iaitu Opar dan Tasik Biru.
“Jadi, kedua-dua kerusi itu telah disahkan untuk ditandingi DAP,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, DAP turut mempertimbangkan untuk meletakkan calon di kerusi Batu Lintang, namun keputusan berhubung perkara itu belum dimuktamadkan.
Katanya, pengumuman mengenai calon bagi kerusi yang telah disahkan akan dibuat pada masa yang bersesuaian.
Sementara itu, Chong berkata pengumuman mengenai kerusi yang akan ditandingi DAP di kawasan lain termasuk Sibu, Sarikei, Bintulu dan Miri akan dibuat secara berasingan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Beliau berkata pengumuman tersebut akan dibuat selepas pihaknya mengadakan pertemuan dengan calon serta jawatankuasa parti di kawasan berkenaan.
Mengulas objektif DAP menghadapi PRN kali ini, Chong berkata parti itu mahu menawarkan pembangkang yang lebih kuat bagi memastikan wujudnya semak dan imbang terhadap pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Katanya, DAP ketika ini hanya mempunyai dua daripada keseluruhan 82 kerusi DUN dan mahu meningkatkan jumlah suara pembangkang dalam dewan berkenaan.
“Saya percaya bahawa tiada demokrasi tanpa pembangkang.
“Kita menyertai pilihan raya ini untuk menawarkan pembangkang yang lebih kuat kepada rakyat Sarawak dan berharap lebih banyak suara dapat dibawa ke dalam DUN,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat





