JULAU, 01 November: Kerjasama semua pihak tanpa mengira perbezaan ideologi politik perlu diutamakan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela dan pembangunan masyarakat luar bandar dapat dilaksanakan secara berkesan.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, kepentingan masyarakat harus menjadi keutamaan selepas berakhirnya persaingan politik supaya usaha memenuhi keperluan penduduk dapat diteruskan melalui kerjasama pelbagai pihak.
“Apabila melibatkan politik, kita berpolitik. Tetapi apabila musim politik tamat, kita berhenti bercakap tentang politik dan kembali menumpukan perhatian kepada keperluan dan kebajikan rakyat.
“Program bersama rakyat menyediakan ruang untuk berkomunikasi secara langsung dengan penduduk, selain berkongsi maklumat mengenai pelaksanaan projek yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Bersama Rakyat di Rumah Sandra Umban, baru-baru ini.
Katanya, pendekatan turun padang juga membolehkan masyarakat mengetahui perkembangan inisiatif pembangunan yang dilaksanakan bagi memenuhi keperluan mereka.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus mendekati masyarakat dan bekerjasama dengan semua pihak tanpa mengira ideologi politik dalam memastikan kebajikan penduduk sentiasa diberikan perhatian.
Dalam program sama, Larry menyerahkan sumbangan keseluruhan RM15,000 bagi menyokong pelbagai keperluan masyarakat Rumah Sandra Umban.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM10,000 disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Sandra Umban bagi tujuan pembinaan pintu gerbang.
Biro Wanita Rumah Sandra Umban turut menerima bantuan kewangan bagi memenuhi keperluan makanan dan peralatan dapur.
Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha menyokong pelaksanaan aktiviti masyarakat serta memperkukuh pembangunan komuniti di kawasan Parlimen Julau.
Oleh Earl Anek




