KUCHING, 1 November: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen bakal mengadakan pertemuan dengan Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), John Brian Anthony bagi membincangkan kemungkinan kerjasama antara kedua-dua parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Beliau berkata, DAP dan PBDS mempunyai banyak titik persamaan dari segi pendirian serta objektif, sekali gus menyediakan asas kepada kemungkinan kerjasama dalam usaha memperkukuh peranan pembangkang di Sarawak.
Menurutnya, meskipun masih terlalu awal untuk memuktamadkan bentuk kerjasama berkenaan, perbincangan lanjut perlu diadakan bagi meneliti bagaimana kedua-dua parti dapat bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya itu.
“DAP dan PBDS mempunyai banyak persamaan, satu pihak lawan dan satu objektif.
“Saya berpendapat Sarawak memerlukan pembangkang yang lebih kuat. Persamaan yang wujud antara kedua-dua parti menjadi asas kepada kemungkinan untuk bekerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media persiapan PRN DAP di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini, hari ini.
Chong berkata, pertemuan dengan Presiden PBDS itu akan menjadi antara langkah seterusnya bagi membincangkan kemungkinan kerjasama sebelum sebarang keputusan rasmi dibuat.
Mengulas kemungkinan kedua-dua parti bertembung di kerusi yang sama pada PRN akan datang, beliau berkata perkara itu masih belum diputuskan dan memerlukan perbincangan lanjut.
Katanya, masih terdapat ruang dan masa untuk kedua-dua pihak mengadakan rundingan sebelum memuktamadkan sebarang bentuk persefahaman.
Dalam pada itu, Chong berkata DAP akan meneruskan persiapan pilihan raya parti itu sementara menunggu perkembangan lanjut berhubung kedudukan PKR yang masih belum memutuskan sama ada akan bertanding pada PRN Sarawak akan datang.
Oleh Shahrul Qaizat





