LEGENDA penjaga gol Sarawak yang juga bekas penjaga gawang kebangsaan, Jahar Nor, 69 selamat menjalani pembedahan di salah sebuah hospital swasta KhamiS 11 Jun lalu akibat permasalahan pundi kencing.
“Alhamdulillah…segalanya berjalan lancar. Dan saya kini berehat di rumah sebaik keluar dari hospital pada Jumaat lalu selesai sahaja proses pembedahan dijalankan,” ujar Jahar, semalam.
Sambil menyatakan proses pembedahan dirinya yang menggunakan kaedah laser, Jahar pada masa sama mengakui petunjuk awal dirinya dibelenggu masalah berkenaan sejak awal tahun ini.
Bagaimanapun katanya, kemuncak kesakitan dirasainya pada Hari Raya Adilfitri lalu sekali gus memaksa ahli keluarganya membawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
“Lantaran itu, pembedahan terpaksa dijalankan sebelum masalah berkenaan semakin teruk.
“Ketika ini saya dalam proses pemantauan dan akan melakukan rawatan susulan di hospital selepas ini,” jelas beliau lagi.
Jahar Nor mewakili skuad kebangsaan ketika Sukan SEAP pada 1973 bersama Allahyarham Mokhtar Dahari serta ramai lagi pemain handalan era 70-an.
Ketika ini beliau merupakan jurulatih penjaga gol skuad Sarawak United III (Piala Presiden 2020) selain sebelum ini pernah menjadi jurulatih penjaga gol pasukan Sarawak United IV (Piala Belia).
Oleh Faizal Bujang