SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh menyokong penuh saranan dari Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk turun padang bertemu rakyat bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 yang mana penggal akan berakhir tahun hadapan.
Katanya, turun padang bertemu rakyat sememangnya tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat terutama sekali dalam keadaan kita menghadapi gejala Covid-19.
“Dalam masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKPB (Bersyarat) dan PKPP (Pemulihan) juga, secara peribadi, saya memang setiap minggu berada di kawasan Kuala Rajang.
“Ia adalah untuk memastikan rakyat tempatan di kawasan ini diberi perkhidmatan terbaik dalam kesempitan yang dialami oleh warga akibat wabak pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, pagi semalam.
Ujarnya, bantuan yang telah disalurkan adalah seperti pengagihan makanan dan pelitup muka dalam fasa pertama dan kedua dalam PKP dan PKPB.
Menurut Len, pengagihan makanan dan keperluan asas tersebut melibatkan lebih kurang 5,200 ketua isi rumah (KIR) di kawasannya untuk mereka yang sangat memerlukan bantuan makanan.
“Pada masa ini, PKPP dilaksanakan dan kita telah diberi kelonggaran untuk menjalankan pembangunan untuk memastikan projek dibawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan juga projek yang telah diluluskan sebelum ini akibat tertangguh diteruskan.
“Saya memohon mereka yang diberi kontrak untuk menjayakan projek ini supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti dalam jadual dan disiapkan dalam masa yang telah ditetapkan demi untuk kepentingan rakyat.
“Misalnya projek RTP dibawah Kuala Rajang seperti dewan, jalan raya dan projek yang telah diluluskan oleh Ketua Menteri semasa lawatan beliau ke Sarikei seperti naik taraf Masjid Al Muttaqin, jalan raya yang menghubungkan Kerubong dan Sare, jalan Sarikei ke Tanjung Manis dan juga cadangan untuk menyediakan kemudahan feri dari Parit Bugis ke Tanah Putih.
Oleh Earl Anek