VIENTIANE: Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) (AMM) dimulakan di ibu negara Laos hari ini, menjelang Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan yang akan berlangsung esok, 9 Oktober di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC).
Antara topik utama yang dibincangkan termasuk usaha membina Komuniti ASEAN, hala tuju strategik masa depan, serta pengurusan hubungan luar ASEAN.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat AMM.
Selain mesyuarat AMM, Mohamad dijangka mengambil bahagian dalam Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-28 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-35 bersama rakan sejawatannya di NCC.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang juga berada di Vientiane sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala hari ini, termasuk perbincangan dengan Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP), dan South China Morning Post.
Pada sebelah malam, Tengku Zafrul akan menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2024 yang memfokuskan kepada pemerkasaan masa depan digital ASEAN.
Selain itu, Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tiba di Vientiane pada petang ini.
“Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN dan dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak Campur Satu antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialog iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada, serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Edi kepada media Malaysia.
Majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan akan berlangsung pada 9 Oktober di NCC.
Laos, selaku Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatannya sebagai Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada majlis penutupan Sidang Kemuncak pada 11 Oktober. – Bernama