KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi hari ini hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang ibu mentua Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Puan Sri Elizabeth Pawa, 76, yang meninggal dunia semalam.
Perkara itu dimaklumkan oleh Nanta dalam hantaran di laman Facebook, yang juga menyatakan Wan Junaidi dan isteri tiba sekitar 11.30 pagi tadi dan meluangkan masa kira-kira 30 minit di kediaman mendiang di Tabuan Jaya Tengah, di sini.
“Banyak cerita dan kenangan lalu yang dikongsi oleh Tun sepanjang mengenali mendiang ibu dan bapa mentua saya, Tan Sri Celestine Ujang yang merupakan bekas menteri Negeri Sarawak dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak.
“Saya dan isteri, Datin Sri Angelina Ujang serta seluruh ahli keluarga amat menghargai ingatan dan kesudian Tun dan isteri menziarahi kami dan memberikan kata-kata semangat bagi kami berhadapan dengan kesedihan atas kehilangan ini,” katanya.
Sementara itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Bujang hari ini turut meluangkan masa bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Puan Sri Elizabeth Pawa.
Abang Johari dan isteri tiba di kediaman mendiang sekitar jam 3.30 petang dan disambut oleh Dato Sri Alexander serta isteri Datin Sri Angelina Ujang dan ahli-ahli keluarga yang lain.
Beliau kemudiannya menandatangani buku takziah yang disediakan sebelum beredar.