PEMAIN remaja dari Norway, Erling Braut Haaland bersedia untuk kembali daripada kecederaan lutut sekali gus melegakan pihak pengurusan Borussia Dortmund.
“Dia telah berlatih sejak Khamis, dan melakukan segalanya selama sesi ini. Ini berjalan dengan baik untuknya,” kata jurulatih Dortmund, Lucien Favre.
Haaland, 19, telah menjaringkan 10 gol dalam 11 perlawanan Bundesliga sejak ketibaannya dari Salzburg pada Januari lalu. Dia diketepikan dalam kemenangan baru-baru ini atas Paderborn dan Hertha Berlin.
Dortmund yang berada di kedudukan kedua ketinggalan tujuh mata di belakang Bayern Munich dengan hanya baki empat perlawanan lagi tetapi mampu mengesahkan tempat dalam Liga Juara-Juara UEFA pada hujung minggu ini dengan kemenangan di Dusseldorf yang sedang bergelut sekiranya keputusan lain memihak kepada mereka. – AFP