TEBEDU, 25 Oktober: Kesedaran mengenai keselamatan siber dalam kalangan belia terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Ceramah Keselamatan Siber Bersama Komuniti Tebedu di Dewan Saberkas, Pusat Khidmat N21 Tebedu, semalam.
Program anjuran bersama Saberkas Cawangan Tebedu dan Reach Ten Group, dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) serta Pusat Khidmat N21 Tebedu, itu menghimpunkan 50 peserta dalam kalangan belia di bawah naungan Saberkas Cawangan Tebedu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, dalam ucapan penutupnya menegaskan bahawa kesedaran mengenai keselamatan siber amat penting dalam menghadapi ancaman penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.
Menurutnya, golongan belia perlu sentiasa berwaspada, bijak menilai kesahihan maklumat dan tidak mudah terpedaya dengan pelbagai taktik penipuan yang boleh mengakibatkan kerugian kewangan serta penyalahgunaan maklumat peribadi.
“Belia perlu menjadi pengguna digital yang bijak dan bertanggungjawab. Kesedaran mengenai keselamatan siber bukan sahaja tanggungjawab individu, malah tanggungjawab bersama demi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk semua,” katanya.
Beliau berharap agar ilmu dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang program itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta serta dikongsi dengan ahli keluarga dan komuniti masing-masing.
Program itu turut menyaksikan pembukaan kaunter pendaftaran keahlian oleh wakil Ibu Pejabat Saberkas. Sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila lebih 50 ahli baharu berjaya didaftarkan pada hari berkenaan.
Dr Simon menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda positif dalam usaha memperkukuh keahlian Saberkas serta menggalakkan lebih ramai belia menyertai pelbagai aktiviti dan program anjuran pertubuhan berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Saberkas Cawangan Tebedu, Reach Ten Group, Unimas, Pusat Khidmat N21 Tebedu, para peserta dan semua pihak yang memberikan komitmen serta kerjasama dalam menjayakan program itu.
“Semoga usaha seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi belia yang berilmu, celik digital, berdaya saing dan bertanggungjawab dalam mendepani cabaran dunia digital yang semakin kompleks,” katanya.
Oleh Adi Safarman




