Mong Dagang mahu pertahan kerusi Bukit Begunan pada PRN akan datang

Facebook
WhatsApp
DATUK Mong Dagang pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan merasmikan projek pemasangan jubin lantai di Rumah Murin, Bakong Ai, Lingga. Foto ADUN Bukit Begunan

LINGGA, 25 Oktober: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang menyatakan hasrat untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang menerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS), komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau turut menyeru penduduk supaya terus memberikan mandat kepada kerajaan GPS yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi memastikan agenda pembangunan, khususnya di kawasan luar bandar, dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

Menurut Mong, sokongan berterusan rakyat penting bagi memastikan kesinambungan projek pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Terima kasih kepada seluruh penduduk kawasan Bakong atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang saya berkhidmat sebagai wakil rakyat Bukit Begunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang turut menyaksikan perasmian projek pemasangan jubin lantai di Rumah Murin, Bakong Ai, Lingga, semalam.

Pada majlis itu, Mong turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Murin serta RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Murin bagi menyokong aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan setempat.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penduduk Rumah Murin atas kejayaan melaksanakan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP), yang menurutnya mencerminkan komitmen masyarakat dalam memajukan kawasan masing-masing.

Sementara itu, Penghulu Komiti Manduh, yang bertanggungjawab terhadap kawasan Bukit Balau, menyeru masyarakat supaya terus menyokong GPS yang menurutnya telah membawa pelbagai pembangunan dan kemudahan kepada penduduk luar bandar.

Katanya, pembangunan yang disalurkan menerusi khidmat Mong Dagang dilaksanakan tanpa mengira latar belakang politik, agama atau kaum, sekali gus mencerminkan pendekatan inklusif kerajaan negeri.

Mong, 71, merupakan antara pemimpin politik berpengalaman di Sarawak. Beliau pertama kali dipilih sebagai ADUN Bukit Begunan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 1996.

Beliau telah memenangi kerusi berkenaan sebanyak tujuh kali, termasuk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 1997. Kemenangan terbaharunya adalah pada PRN Sarawak 2021.

Pengalaman panjang itu menjadi sebahagian daripada latar belakang politik beliau ketika PRS Bahagian Bukit Begunan memperkukuh organisasi dan membuat persiapan menghadapi PRN akan datang.

Majlis berkenaan turut diisi dengan ceramah kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bahagian Sri Aman, selain penerangan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman mengenai fungsi skim mySalam kepada penduduk yang hadir.

Oleh Adi Safarman