LIVERPOOL, England: Arne Slot muncul pengurus pertama Liverpool menang lapan daripada sembilan perlawanan pertama ketika jaringan cemerlang Mohamed Salah memastikan kemenangan 2-0 ke atas Bologna pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Slot bermula cemerlang selepas menggantikan Jurgen Klopp dan kemenangan kedua berturut-turut Liverpool dalam Liga Juara-Juara musim ini satu lagi detik bersejarah buat pengendali dari Belanda itu.
Alexis Mac Allister meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-11 di Anfield dan Salah meledak gol ke-49 dalam Liga Juara-Juara pada minit ke-75.
Menghuni tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas enam perlawanan musim ini, Slot memastikan Liverpool tidak hilang apa-apa sejak berakhirnya era kegemilangan Klopp.
Malah Klopp, Kenny Dalglish, Bill Shankly dan Bob Paisley tidak mampu mencatat permulaan cemerlang ketika mengendalikan The Reds.
“Ia tidaklah mustahil untuk melakukan sesuatu yang istimewa di kelab ini. Ia banyak menceritakan bagaimana kami bermula, bagaimana pemain dibeli dan usaha yang dilakukan,” kata Slot.
“Kami banyak mengekalkan perkara sama, pemain amat gembira dengan regim sebelum ini. Amat bagus untuk bermula sebegini, ia amat jelas sekali.”
Liverpool memulakan kempen Eropah dengan kemenangan 3-1 ke atas AC Milan dan ini satu lagi persembahan berkeyakinan pada aksi pertama Slot dalam Liga Juara-Juara di Anfield.
Slot, yang menguruskan Feyenoord dalam Liga Juara-Juara musim lalu berkata, beliau mahu mencipta “malam istimewa” dan ia benar-benar berlaku.
Klopp mengemudi Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara pada 2019 dan turut layak ke final pada 2018 dan 2022, menghasilkan beberapa detik ikonik yang dikenang selama-lamanya.
“Ia bukannya mudah, pada pendapat saya Bologna menjadikannya sukar. Hantaran terakhir sepatutnya lebih bagus,” kata Slot.
“Secara keseluruhan satu keputusan yang bagus tetapi saya tidak akan gunakan perkataan ‘menggembirakan’ buat diri saya sendiri.
“Ada lebih banyak perlawanan sukar menanti, bermula Sabtu ini apabila kami beraksi pada jam 12.30 tengah hari (di Crystal Palace) selepas perlawanan Liga Juara-Juara pada malam Rabu.” – AFP