NEW DELHI: Sebuah helikopter peribadi terhempas di barat India hari ini, mengorbankan tiga individu di dalamnya, kata seorang pegawai bomba.
Helikopter itu terbakar di kawasan berbukit selepas terhempas di pinggir bandar Pune, di tenggara hab kewangan Mumbai, kira-kira jam 6:45 pagi (0115 GMT).
Ketua pegawai bomba, Devendra Potphode memberitahu pemberita, dua juruterbang dan seorang jurutera maut dalam nahas itu.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kami melihat helikopter itu terhempas dan semua bahagiannya berselerak.
“Kami dapat mengeluarkan tiga mangsa dan sudah diserahkan kepada polis,” katanya.
Helikopter itu disewa parti pembangkang, Parti Kongres Nasionalis dan menuju ke Mumbai.
Walaupun punca nahas masih belum dikenal pasti, laporan media tempatan menyatakan terdapat kabus tebal di kawasan terbabit ketika itu. – AFP