JKKK Kampung Belading lawat DUN Sarawak

Facebook
WhatsApp
KUNJUNGAN ILMU....Paulus Palu bersama JKKK Kampung Belading dan Joseph Belandoi ketika lawatan ke DUN Sarawak.

LIMBANG, 20 Oktober: Seramai 13 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Belading, Limbang berpeluang mempelajari sistem pentadbiran kerajaan negeri serta fungsi institusi perundangan Sarawak menerusi lawatan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Pengerusi JKKK Kampung Belading, Mat Zain Sumil berkata, lawatan julung kali itu diadakan bagi memberi pendedahan secara lebih dekat mengenai peranan DUN Sarawak dalam proses penggubalan undang-undang, perbahasan isu berkaitan rakyat serta pelaksanaan dasar kerajaan negeri.

“Lawatan ini menjadi platform untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman ahli JKKK mengenai sistem demokrasi berparlimen di peringkat negeri, sekali gus memperkukuh peranan JKKK sebagai penghubung antara masyarakat dengan pihak kerajaan.

“Lawatan seumpama itu diharap dapat meningkatkan kesedaran ahli JKKK terhadap tanggungjawab mereka dalam menyampaikan maklumat, menyuarakan keperluan penduduk serta memastikan pembangunan dan kebajikan di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan DUN Batu Danau, diberi keutamaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kehadiran rombongan itu disambut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang.

Turut hadir Pengurus Besar Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA), Datu Joseph Blandoi.

Oleh Adeng Edrus