KUCHING: Program Larian Amal Bersama Bomba Sarawak 2.0 yang dianjurkan di pekarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini berjaya menarik 3,100 peserta dari pelbagai peringkat usia.
Program larian itu dianjurkan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Persatuan Sukan dan Kebajikan Bomba Sarawak (PESKEBS) dan MBKS.
Himpunan peserta terlibat dengan larian tersebut mencakupi individu pelbagai peringkat umur dengan tiga kategori di pertandingan, iaitu tiga kilometer (tiada had umur) dan 10 kilometer masing-masing bagi peserta 45 tahun ke bawah dan 45 tahun ke atas.
Objektif larian itu adalah bagi mengumpul dana untuk Persatuan bagi Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA) dan Persatuan Orang Buta Kuching Sarawak.
Kedua-dua persatuan masing-masing menerima RM10,000 dan diserahkan kepada Exco PERKATA, Gillian Raja dan Pengerusi Persatuan Orang Buta Kuching, Roland Thomas Law.
Upacara pelepasan telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai bagi mewakili Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Acara larian itu turut dimeriahkan dengan program senamrobik dan pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JPBM, Datu Khirudin Drahman @ Hussaini; Pemangku Pengarah JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii dan Timbalan Datuk Bandar MBKS, Dato Zaiedi Suhaili.
Oleh RYNNA SHA’ERRA