KUCHING: Kontinjen Sarawak menyasarkan 10 pingat emas untuk acara tenpin boling pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024 di Pusat Boling Megalanes Sarawak Batu Kawa, yang bermula esok.
Penolong Chef De Mission (ACDM), Mohamad Duri berkata kesemua 39 atlet tenpin boling kini telah siap sedia untuk berentap dalam acara tersebut.
“Saya berharap impian untuk menggondol 10 pingat emas dalam acara tenpin boling bagi kontinjen Sarawak ini akan menjadi kenyataan berdasarkan persiapan serta latihan yang telah dilakukan selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir bagi memberikan kata-kata semangat buat atlet tenpin boling Para SUKMA bertempat di perkampungan sukan sebelum berangkat ke Pusat Boling Megalanes Sarawak Batu Kawa untuk mengadakan latihan terakhir, hari ini.
Mohamad Duri turut menyeru atlet tenpin boling untuk memanfaatkan aksi di ‘gelanggang sendiri’ dengan meraih seberapa banyak pingat emas bagi merealisasikan impian muncul juara keseluruhan bagi acara tersebut pada temasya kali ini.
Dalam pada itu, jurulatih tenpin boling Sarawak, Howard Tambom yakin dengan semangat atlet Sarawak kini serta persiapan yang telah dilakukan, pasti sasaran 10 pingat emas dapat dicapai.
Turut bersama dalam sesi taklimat akhir untuk kontinjen Tenpin Boling Para SUKMA XXI Sarawak iaitu Pengurus Pasukan, Datin Raiah Ali, barisan jurulatih serta pegawai-pegawai dan semua atlet.
Oleh ADI SAFARMAN