PETRA JAYA l: Bekas perenang para negara, Fraidden Dawan sasar ‘tapau’ kesemua emas dalam acara yang dipertandingkan dalam sukan renang Para SUKMA kali ini.
Fraidden yang pernah menghadiahkan emas kepada skuad kebangsaan pada Sukan Para ASEAN ini berkata, ketika ini beliau sudah memenangi emas dalam kedua-dua acara individu dan satu emas dalam acara berpasukan yang dipertandingkan hari ini.
Katanya, ada dua lagi acara individu dan satu berpasukan yang akan beliau sertai pada Rabu dan Khamis ini.
“Daripada awalnya memang saya sudah sasar emas untuk dua acara individu yang saya menangi hari ini iaitu 100m gaya kuak lentang kategori s10 dan 100m gaya kuak dada lelaki SB9, termasuk acara berpasukan 4x100m gaya bebas.
“Jadi saya ingin dedikasikan kemenangan ini untuk keluarga saya yang sering memberi sokongan dan dorongan untuk saya.
“Terutama sekali isteri saya yang sering memberi motivasi agar saya membuat yang terbaik untuk mendapat pingat dalam setiap acara yang dipertandingkan.
“Untuk acara saya pada hari ketiga dan keempat nanti juga saya sasar emas. Ada dua acara individu dan satu berpasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai upacara penyerahan pingat acara renang di Pusat Akuatik Pendelela Rinong, di sini, hari ini.
Fraidden akan turun bersaing pada Rabu dan Khamis ini dalam acara 50m dan 100m gaya bebas lelaki.
Beliau juga merupakan pemegang rekod acara 100 meter kuak lentang dengan catatan masa terpantas 1 minit 15 saat pada Para SUKMA MSN Kuala Lumpur 2022.
Oleh SHAHRUL QAIZAT