PETRA JAYA: “Pingat emas ini saya dedikasikan untuk keluarga dan negeri Sarawak”.
Itu luahan Richard Bada selepas menyumbang pingat emas pertama buat kontinjen Sarawak menerusi acara Lempar Cakera Lelaki F41 (kerdil) akhir yang berlangsung di Stadium Sarawak di sini, hari ini.
Beliau yang berasal dari Kampung Segenam, Serian berjaya mencatat rekod baharu peribadinya dengan jarak 25.53 meter, sekali gus memecahkan rekod lamanya yang berjarak 22 meter.
Beliau gembira dan bangga dapat membawa nama baik Sarawak dan keluarga di kampung.
“Ini adalah kali pertama saya memenangi pingat emas dan mencatat rekod baharu. Saya berharap dapat menjalani latihan yang lebih intensif untuk persediaan tahun depan.
“Pada hari ketiga, saya akan bertanding dalam acara lembing dan lontar peluru, dengan sasaran meraih pingat emas dalam kedua-dua acara berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Sarawak di sini.
Dalam pada itu, acara berkenaan turut menyaksikan kem olahraga Sarawak beraksi cemerlang selepas berjaya membolot ketiga-tiga pingat.
Pingat perak diraih oleh Teckman Mary dengan mencatat 20.57 meter manakala Abdullah Syawal Majarol mendapat pingat gangsa dengan catatan 17.55 meter.
Selain itu, atlet dari Melaka, Muhd Haikal Mohd Razan sekadar berpuas hati selepas menduduki tempat keempat dengan catatan 17.19 meter.
Pada masa sama, majlis penyampaian pingat telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Oleh Mohd Neenatul Aizal