KUCHING: Hasrat Sarawak untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri dijangka menjadi kenyataan akhir tahun ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata langkah itu juga selari dengan rancangan untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa yang baharu di Kuching.
“Menjelang akhir tahun ini, insya-Allah kita mungkin mempunyai syarikat penerbangan sendiri,” katanya berucap pada program ‘Night at the Museum’ 2024 Jabatan Muzium Sarawak di Muzium Budaya Borneo di sini malam tadi.
Majlis tersebut turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi sebagai tetamu kehormat.
Pada 11 April lalu, Abang Johari berkata syarikat penerbangan milik Sarawak dijangka mula beroperasi pada 2025 dan proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh kerajaan Sarawak sedang berlangsung selepas dipersetujui secara prinsip oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Aviation Group.
Abang Johari menjelaskan dengan mempunyai syarikat penerbangan sendiri, Sarawak juga mahu membina lapangan terbang antarabangsa baharu yang mampu menampung 15 juta penumpang.
“Ini akan membantu membawa lebih ramai kemasukan pelancong. Lapangan terbang baharu ini direka berasaskan model lapangan terbang Doha.
“Sudah tentu pembinaannya mengambil masa tiga hingga lima tahun,” katanya.
Bagaimanapun, setakat ini kerajaan Sarawak belum mengumumkan lokasi untuk projek lapangan terbang baharu itu.
Abang Johari berkata dengan infrastuktur itu, akan membolehkan kedatangan ramai pelawat sama ada untuk melancong atau menghadiri acara perniagan.
Sementara itu, beliau juga berkata pihaknya memperuntukkan RM300 juta untuk mengubahsuai bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama menjadi Pusat Persembahan Seni.
Katanya, selain menjadi platform untuk menonjolkan bakat, pusat ini juga berpotensi memperkukuh industri seni di Sarawak sekali gus meningkatkan ekonomi setempat.
Program tersebut menampilkan persembahan artis terkenal seperti Firdaus Materang, Banie Faizu, dan kemuncak oleh Anuar Zain, serta pertunjukan fesyen etnik Sarawak dan teater musikal ‘Kerajaan Banting’.
Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
Oleh KADIR DIKOH