KABONG, 1 November: Penduduk Kabong dan kawasan sekitarnya berpeluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan dengan lebih mudah menerusi penganjuran Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak di Pusat Penjaja Kabong, semalam.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, program anjuran Perbendaharaan Malaysia Sarawak, Kementerian Kewangan itu bertujuan mendekatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat setempat.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan menyediakan kaunter perkhidmatan daripada pelbagai jabatan, agensi dan institusi bagi membolehkan orang ramai mendapatkan khidmat serta menyelesaikan urusan berkaitan secara terus di satu lokasi.
Antara agensi yang mengambil bahagian ialah Perbendaharaan Malaysia Sarawak, Commerce Dot Com Sdn. Bhd., Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Turut menyertai program itu ialah Jabatan Perangkaan, Jabatan Akauntan Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank serta beberapa agensi kerajaan dan badan berkaitan yang lain.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program berkenaan yang turut menawarkan pelbagai aktiviti sampingan bagi menarik penyertaan masyarakat setempat.
Antara pengisian yang disediakan termasuk Program Jualan Rahmah MADANI, pertandingan mewarna, cabutan tiket bertuah serta demonstrasi masakan yang memberi peluang kepada pengunjung menikmati pengalaman berbeza sepanjang program berlangsung.
Menurutnya, penganjuran program seumpama itu amat bermanfaat kerana membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan pelbagai urusan perkhidmatan kerajaan tanpa perlu berkunjung ke pejabat agensi masing-masing.
“Pendekatan perkhidmatan secara bergerak ini juga dilihat mampu meningkatkan akses masyarakat terhadap kemudahan kerajaan, khususnya penduduk di kawasan luar bandar.
“Saya berharap program berkenaan dapat memberikan manfaat menyeluruh kepada penduduk Kabong dan kawasan sekitarnya, selain memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dengan komuniti setempat,” katanya.
Dalam pada itu, Chee Kadir turut merakamkan penghargaan kepada Perbendaharaan Malaysia Sarawak, semua agensi yang terlibat serta seluruh warga kerja yang menjayakan program berkenaan demi kepentingan dan kesejahteraan masyarakat.
Oleh Adi Safarman




