SIMANGGANG: Kelab Tinju Tidal Bore (TBBC) Sri Aman berjaya membolot tujuh pingat emas dan sembilan pingat perak pada Kejohanan Persahabatan Tinju di Dewan Pekan Lama Batu Kawa yang berakhir semalam sempena sambutan Perayaan Kuih Bulan 2024.
Presiden TBBC, Mohammad Azlan Shah Ismadi berkata, skuad pimpinan Kamaruddin Mohamad serta dibantu oleh Joe Engkujat dan Mohamad Ishak itu telah mempertaruhkan seramai 16 petinju muda daripada empat kategori yang dipertandingkan apabila kesemua petinju mereka berjaya menghadiahkan kilauan pingat.
“Keputusan buat skuad tinju TBBC Sri Aman dalam Kejohanan Persahabatan Tinju sempena sambutan Perayaan Kuih Bulan 2024 ini cukup positif apabila kita berjaya mengutip tujuh pingat emas dan sembilan pingat perak.
“Saya berharap kecemerlangan ini berterusan dan saya yakin kejohanan ini menjadi pentas pendedahan kepada petinju-petinju muda terutamanya TBBC yang telah mempamerkan bakat mereka dalam kategori masing-masing,” katanya.
Mohammad Azlan berkata melalui penyertaan dalam pertandingan ini, TBBC berharap dapat meningkatkan pengalaman kepada petinju muda, sambil memberi peluang kepada mereka untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi serta membina keyakinan dan ketahanan mental.
“Kejohanan ini adalah medan yang penting untuk mengukur kemajuan para petinju dan mengenal pasti ruang untuk peningkatan, selain menjadi platform untuk membina jaringan dengan komuniti sukan di Sarawak.
“TBBC sentiasa memberi komitmen tinggi untuk terus memajukan sukan tinju, di samping memperkasakan belia di Sri Aman melalui aktiviti sukan yang membina sahsiah dan disiplin,” katanya.
Beliau menambah, TBBC yang ditubuhkan itu merupakan sebahagian daripada usaha kelab dalam menyokong Program Belia Unggul, Komuniti Utuh dan Teguh (BUKUT) kolaborasi bersama Megah Armada Sdn Bhd dan APPGM-SDG yang memberi tumpuan kepada pembangunan belia di Sri Aman.
Mohammad Azlan menjelaskan, TBBC kini sedang merangka persiapan untuk menyertai kejohanan tinju yang akan diadakan di Bandaraya Miri pada Disember nanti.
Terdahulu, kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Jawatankuasa Pekan Lama Batu Kawa dan JC Martial Arts ini telah dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Dato Dr Sri Sim Kui Hian yang turut memuji usaha untuk memperkasakan belia melalui sukan tempur seperti tinju dan kickboxing.
Oleh Adi Safarman