LAWAS: Kerajaan Sarawak menolak fahaman ekstrem yang meliputi pelbagai aspek untuk memastikan perpaduan rakyat berbilang kaum terus terpelihara.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata modul Piagam Madinah menjadi acuan kepada pemerintahan kerajaan Sarawak yang mementingkan aspek perpaduan, kerjasama dan keadilan untuk semua rakyatnya.
Katanya, aspek perpaduan, kerjasama, keadilan dan kesaksamaan semua rakyat Sarawak merupakan teras utama yang memastikan Sarawak terus kekal maju dan makmur.
“Inilah yang kita laksanakan dalam urusan pentadbiran kerajaan kita yang dipimpin oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, iaitu kita memerintah dengan mengambil contoh Piagam Madinah dalam urus tadbir kerajaan kita yang berkaitan dalam semua aspek dari segi hubungan sosial, ekonomi, perpaduan dalam kalangan masyarakat kita.
“Kita menegakkan keadilan, kesaksamaan untuk semua kaum walaupun kita berbeza dari segi fahaman agama, amalan budaya yang berlainan,” katanya pada Sambutan Mauludur Rasul Peringkat Daerah Lawas di Taman Awam Lawas hari ini.
Seramai 7,000 umat Islam daripada pelbagai peringkat dan latar belakang menyertai perarakan yang bermula dari padang awam Lawas hingga ke Taman Awam Lawas.
Sejumlah 41 kontingen telah mengambil bahagian terdiri daripada orang awam, sekolah, kelab dan persatuan, jabatan kerajaan, surau, masjid dan kampung di sekitar Daerah Lawas.
Awang Tengah juga mahu agar majlis sambutan ini dapat diperbesarkan tahun hadapan dengan menambah jumlah anugerah tokoh-tokoh daripada semua peringkat masyarakat khususnya golongan belia.
“Tokoh dalam kalangan masyarakat kita termasuk para belia kita yang jaguh dalam pendidikan mereka, jaguh dalam sukan, jaguh dalam perniagaan harus kita tonjol kerana ajaran agama kita ini menyeluruh,” katanya.
Turut mengiringi Awang Tengah dalam perarakan Mauludur Rasul Peringkat Daerah Lawas adalah Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Dato Dayang Morliah Awang Daud: Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa dan Pengarah Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA), Datu Ubaidillah Latip.
Turut disampaikan ialah anugerah tokoh Mauludu Rasul 2024 kategori lelaki iaitu Awang@ Ibrahim Ahmad dan tokoh wanita Mauludur Rasul 2024 kepada Suriah Jinin.
Acara pertandingan sepanduk dimenangi Persatuan Guru-guru KAFA Lawas, kategori perarakan kontinjen dimenangi Masjid Darul Iman Kampung Punang, kategori masjid dan surau dimenangi Kampung Sualai, kategori sekolah disandang oleh SK Agama(MIS) Lawas dan kategori jabatan kerajaan dimenangi Pejabat Pendidikan Daerah Lawas.
Oleh ADENG EDRUS