KAPIT: Sebuah rumah dua tingkat musnah dijilat api dalam kebakaran di Rumah Nuang, Jalan Bukit Goram dekat sini, awal pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGO) pihaknya menerima panggilan jam 2.50 pagi.
Susulan itu sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, anggota bertugas mendapati rumah teres dua tingkat sudah terbakar 90 peratus.
“Anggota bomba memulakan usaha memadam kebakaran dengan menggunakan air yang diperoleh dari pili bomba berdekatan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, salah seorang daripada lima penghuni rumah mengalami kecederaan di bahagian kaki semasa kejadian itu.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.30 pagi,” katanya.