KUCHING, 6 Oktober: Dua lelaki dewasa cedera selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebatang pokok berhampiran Gold Coin, Bintawa, di sini, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menerima panggilan berhubung kejadian pada 5.01 petang sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi.
Pasukan bomba yang diketuai Said Muhammad Imran Sahul Hamid tiba di lokasi pada 5.16 petang.

Menurut JBPM, kemalangan kendiri itu melibatkan dua mangsa lelaki dewasa, masing-masing pemandu dan penumpang kenderaan berkenaan.
Penumpang yang masih berada di tempat duduk hadapan ketika pasukan bomba tiba didapati tidak tersepit, namun mengalami kecederaan pada bahagian muka.
Anggota bomba kemudian membantu mengangkat mangsa sebelum dibawa masuk ke ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pemandu kenderaan berkenaan berjaya keluar sendiri dan mengalami kecederaan pada bahagian kaki kiri.
Kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.




