LIVERPOOL: Gol menakjubkan pemain gantian, Callum Hudson-Odoi pada babak kedua memberikan kemenangan buat Nottingham Forest yang menewaskan Liverpool 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, malam tadi.
Pasukan tuan rumah mendominasi separuh masa pertama dan Luis Diaz hampir menjaringkan gol pada minit ke-17 sebelum bola terkena tiang.
Jentera serangan skuad The Reds tampak tidak sehaluan dalam perlawanan itu apabila banyak gerakan mereka tidak menjadi sekali gus mensia-siakan beberapa peluang terhidang bagi menjaringkan gol.
Ketumpulan jentera serangan Liverpool dihukum pada minit ke-72 apabila Anthony Elanga berjaya menemui Hudson-Odoi menerusi hantaran silang cantik.
Pemain sayap berusia 23 tahun itu kemudian membawa bola masuk sebelum melakukan sepakan lencong untuk menewaskan penjaga gol Liverpool, Alisson.
Selepas menang semua tiga perlawanan pertama liga di bawah bimbingan Arne Slot tanpa dibolosi, Liverpool tampak bergelut untuk kembali bangkit sekali gus terpaksa akur tewas kali pertama dalam saingan musim ini.