SRI AMAN: Sejumlah 100 bahan terbitan diedar kepada penduduk Rumah Rebi Remaw, Stumbin B di sini sempena Program Jiwa Komuniti Madani @ Merdeka anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Sri Aman, kelmarin.
Antaranya ialah Buku Setahun Bersama Kerajaan Madani, Risalah Inisiatif Sejahtera Malaysia MADANI dan Risalah Tip Kibar Jalur Gemilang.
Menurut jurucakap pihak penganjur, usaha agensi kerajaan itu bertujuan memperkukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk luar bandar dalam kawasan Sri Aman.
“Program terdahulu dimulakan dengan aktiviti gotong-royong rumah panjang berkenaan dengan bendera Jalur Gemilang.
“Setelah itu, berlangsungnya majlis penutupan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku serta bacaan ikrar Rukun Negara.
“Majlis penutupan program itu kemudiannya diteruskan dengan sesi ceramah bertajuk Penerapan Semangat Patriotik, Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R 1JG).
“Turut diadakan juga adalah bersempena dengan program itu adalah kuiz kenegaraan dan simbolik penyerahan Jalur Gemilang serta poster Yang di-Pertuan Agong kepada para Tuai Rumah yang hadir,” katanya.
Katanya lagi, program kemudiannya diteruskan dengan sesi nyanyian lagu Jalur Gemilang dan 31 Ogos, penyampaian cenderahati sebelum ia diakhiri dengan sesi bergambar dalam kalangan tetamu khas dan penduduk.
Turut berucap dalam program tersebut ialah Pengerusi Komuniti Madani Rumah Rebi, Stumbin B, Waterkiller James dan Penolong Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Jessecca Gilbert Bunsu untuk merasmikan penutupan program.
Hadir sama bagi menjayakan program berkenaan, dua petugas lapangan JaPen Sri Aman iaitu Iswandi Kassim dan Fadil Sulaiman.
Oleh Valentine Ngumbang