SINGAPURA: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual menyampaikan ucaptama semasa Persidangan Petroleum Asia Pasifik (APPEC) 2024 pada 9 Sept di Raffles City Convention Centre, di sini.
Persidangan anjuran S&P Global Commodity Insights itu antara lain akan membincangkan masa depan landskap tenaga global.
S&P Global Commodity Insights ialah bahagian S&P Global, penyedia terulung dunia bagi penarafan kredit, penanda aras, analitik dan penyelesaian aliran kerja dalam pasaran modal, komoditi, dan automotif global.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abang Johari yang tiba di sini pada Sabtu untuk lawatan kerja rasmi sehingga 10 Sept, turut dijadual menerima kunjungan hormat daripada ISEAS-Yusof Ishak Institute pada Isnin.
Abang Johari juga akan mengadakan mesyuarat bersama S&P Global serta mengadakan lawatan kerja ke kampus Airbus di Seletar bersama rombongan kerajaan negeri.
Beliau dijadual berlepas pulang pada Selasa.– BERNAMA
Gambar
Abang Johari tiba di Singapura hari ini. Foto UKAS