LIMBANG: Blok dan bangunan lama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbang bakal dinaik taraf untuk dijadikan Pusat Tingkatan Enam.
Ini adalah untuk menyediakan prasarana pendidikan terbaik bertaraf prauniversiti kepada pelajar di Daerah Limbang.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata pada masa ini blok kantin sekolah sudah siap dibina dan memerlukan kemudahan beberapa blok asrama selain kemudahan peralatan sekolah dan perabot.
Katanya, apabila siap dibina kelak, Pusat Tingkatan Enam di Limbang merupakan Pusat Tingkatan Enam kedua di Sarawak.
”Kita berharap pada tahun depan, Pusat Tingkatan Enam ini akan dapat dimulakan kerana ia penting dan sudah dikategorikan sebagai prauniversiti.
“Pusat Tingkatan Enam di Limbang sudah diluluskan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” katanya ketika ditemui media pada lawatan ke tapak projek pembangunan di Projek Dataran Bandar Limbang dan Pusat Tingkatan Enam di sini.
Turut sama ialah Timbalan Residen, Marie Cotilla Louise @ Rozita Kulai dan Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata sebahagian peruntukan bagi pembinaan blok kantin dan asrama Pusat Tingkatan Enam di SMK Limbang adalah melalui Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).
“Untuk Pusat Tingkatan Enam kita memerlukan asrama, sebab itulah kita mencadangkan sebahagian peruntukan dari NRDA untuk membina asrama dan sudah dilulus dan satu blok kantin di bawah projek ini telahpun siap.
“Cuma ada beberapa isu yang perlu diselesaikan terutamanya proses mendapatkan Permit Pendudukan (OP),”katanya.
Beliau berkata pihaknya memerlukan peruntukan sekitar RM2 juta untuk menyediakan kemudahan pendidikan dan perabot di pusat terbabit.
Dr Abdul Rahman juga berharap pihak NRDA untuk mempercepatkan proses mendapatkan OP agar bangunan pusat terbabit dapat diserahkan segera kepada JPN.
Oleh ADENG EDRUS
Gambar
KEMUDAHAN… Dr Abdul Rahman ketika melawat Pusat Tingkatan Enam di SMK Limbang.