PETRA JAYA, 20 Oktober: Sarawak menyasarkan pengeluaran sebanyak 860,000 ekor khinzir setahun, bernilai RM1.5 bilion, menjelang 2030 menerusi pembangunan ladang penternakan moden bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran industri berkenaan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, dua projek penternakan khinzir berskala besar sedang dibangunkan di Selangau dan Ensengei, Serian bagi menyokong sasaran berkenaan.
Beliau berkata, kawasan penternakan khinzir (PFA) di Selangau seluas 233 hektar dibangunkan dengan pelaburan RM200 juta dan mempunyai kapasiti pembiakan sebanyak 12,000 ekor induk.
“Pengeluaran dijangka bermula pada 2027, manakala projek itu disasarkan siap sepenuhnya pada 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Dr Rundi berkata, sebuah lagi projek ladang khinzir moden (MPF) di Ensengei, Serian meliputi kawasan seluas 202 hektar dan dibangunkan menerusi usaha niaga komersial swasta dengan pelaburan RM385 juta.
Menurutnya, kemudahan itu akan menggunakan sistem penternakan tertutup dengan kapasiti sehingga 80,000 ekor khinzir menjelang 2030, selain dilengkapi rumah sembelih moden.
“Fasa pertama yang siap pada tahun lalu kini menghasilkan antara 700 hingga 800 ekor khinzir setiap bulan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, industri penternakan khinzir di Sarawak turut menyumbang kepada pendapatan eksport negeri apabila sebanyak 109,606 ekor khinzir hidup dieksport pada 2026, menjana pendapatan berjumlah RM158.75 juta.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut memperkukuh langkah biosekuriti bagi mencegah kemasukan dan penularan penyakit kaki dan mulut (FMD) serta demam khinzir Afrika (ASF). Langkah itu juga bertujuan meningkatkan pematuhan terhadap protokol bagi memastikan eksport daging khinzir ke pasaran serantau dilaksanakan secara selamat dan mampan.
Oleh Adele Rissa



