SARIKEI: Peniaga di Bazar Majlis Amanah Rakyat (MARA) Sarikei memperoleh pendapatan mencecah RM3.5 juta pada 2023.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, peniagaan di Bazar MARA sarikei mendapat respons yang baik daripada masyarakat di sini sejak beroperasi pada 2022.
“Berdasarkan rekod kita, tahun lepas sahaja (2023), peniaga dalam bazar MARA ini mendapat pendapatan mencecah RM3.5 juta setahun.
“Ini merupakan satu pencapaian yang amat baik memandangkan lokasi Bazar MARA Sarikei ini juga amat sesuai kerana berada berhampiran Pusat Pentadbiran kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei.
“Harapan kita, ia dapat memberi kemudahan kepada semua peniaga dan juga dapat memberi khidmat kepada masyarakat di Sarikei secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Bazar MARA Sarikei, hari ini.
Rubiah berkata, MARA berperanan dalam usaha membangunkan sosioekonomi Bumiputera.
“Sejak ditubuhkan, kita membantu dari sudut pendidikan, keusahawanan dan juga pelaburan.
“Kalau dilihat sumbangan MARA dari sudut usahawan, sejak ditubuhkan kita sudah melahirkan lebih 1.2 juta orang usahawan.
“Tahun ini sahaja untuk negara, kita telah membantu dalam lingkungan 18,441 orang usahawan dalam pelbagai bantuan….baik dalam melahirkan usahawan baharu, malah juga mengembangkan perniagaan usahawan sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, MARA membantu membantu usahawan melalui program latihan, bimbingan, khidmat pemantauan dan dari segi pembiayaan.
“Kita cuba membantu usahawan seramai yang boleh bagi membantu bukan sahaja untuk memulakan perniagaan, malah menerusi program latihan, bimbingan, khidmat pemantauan dan dari segi pembiayaan,” katanya.
Oleh Earl Anek
Gambar
TEMU BUAL….Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang ditemu bual media selepas merasmikan Bazar MARA Sarikei, hari ini.