SARIKEI: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukan RM32 juta tahun ini untuk membantu usahawan Sarawak dengan menyasarkan seramai 610 usahawan menerima manfaat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, setakat 30 Julai lalu, MARA Sarawak telah berjaya membantu dan memberikan bantuan pembiayaan serta kemudahan MARA dalam bentuk geran kepada 661 usahawan melibatkan jumlah bernilai RM30 juta.
“Bagi usahawan Sarikei, sehingga 30 Julai 2024, seramai 18 orang usahawan telah menerima bantuan pembiayaan melibatkan jumlah RM1.067 juta untuk pelbagai jenis program dan tujuan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian di Bazar MARA Sarikei di sini, hari ini.
Rubiah juga berkata Bazar MARA Sarikei telah dibeli pada 2016 dengan kos RM3.675 juta dan telah beroperasi sepenuhnya pada 20 Mei 2022.
Beliau berkata secara keseluruhannya Bazar MARA Sarikei menyediakan 19 lot perniagaan dengan 12 lot gerai makanan dan minuman di tingkat bawah serta tujuh lot perniagaan pelbagai kluster di tingkat satu pada kadar mampu sewa.
“Dengan ada lot perniagaan ini, usahawan Bumiputera sekitar Sarikei berpeluang untuk berniaga dan secara tidak langsung memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat di Sarikei.
“Malah melalui bantuan berupa Geran Pensijilan dari MARA, seramai 11 usahawan, iaitu 91 peratus daripada penyewa Bazar MARA Sarikei telah berjaya mendapat persijilan HALAL dari pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Ini adalah hasil kerjasama berterusan MARA bersama pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) ke arah pengiktirafan Bazar MARA Sarikei sebagai zon HALAL di Bahagian Sarikei,” katanya.
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersial (BIK) Ibu Pejabat MARA Kuala Lumpur, Zahari Aziz, Pengarah MARA Negeri Sarawak, A Razu Abdul Razak dan Residen Bahagian Sarikei, Michael Ronnie Langgong.
Oleh Earl Anek
Gambar
RASMI…..Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang merasmikan Bazar MARA Sarikei hari ini.