Pesuruhjaya Polis Sarawak terima kunjungan hormat Timbalan Pengarah JLOG Bukit Aman

Facebook
WhatsApp
PESURUHJAYA Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak mengadakan perbincangan bersama Timbalan Pengarah (Kewangan, Perolehan dan Kepolisan Am) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, SAC Rohana Abdul Rahman semasa kunjungan hormat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak. Foto Polis Sarawak.

KUCHING, 12 November: Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Pengarah (Kewangan, Perolehan dan Kepolisan Am) Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) Bukit Aman, SAC Rohana Abdul Rahman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini semalam.

Kunjungan itu turut disertai Ketua Penolong Pengarah Kewangan JLOG Bukit Aman, ACP Wan Zulfadli Wan Mustafa serta delegasi jabatan berkenaan.

SAC Rohana Abdul Rahman menandatangani buku pelawat sambil disaksikan CP Saifullizan Ishak (kiri) dan Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi Sarawak, ACP Boniface Bajai (kanan). Foto Polis Sarawak.

Pertemuan tersebut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan kerjasama dan bertukar pandangan berkaitan pengurusan kewangan, perolehan serta keperluan logistik bagi menyokong kelancaran pentadbiran dan penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak.

Perbincangan turut menyentuh usaha meningkatkan kecekapan pengurusan sumber serta penyampaian perkhidmatan bagi memastikan keperluan organisasi dapat diurus dengan lebih teratur dan berkesan.

Turut hadir Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi Sarawak, ACP Boniface Bajai serta pegawai kanan jabatan berkenaan.

Oleh Shikin Mahmud

CP Saifullizan Ishak (dua kanan) menyampaikan cenderamata kepada SAC Rohana Abdul Rahman (dua kiri). Turut hadir ACP Wan Zulfadli Wan Mustafa (kiri) dan ACP Boniface Bajai (kanan). Foto Polis Sarawak