PETRA JAYA: Kem Mini Perubatan Kesihatan 2024 anjuran bersama Pertubuhan dan Pembangunan Insan Sarawak (PPIS) dan Kelab Lions Perpaduan Kuching (Lions Club Unity) bermula hari ini hingga esok.
Presiden Kelab Lions Perpaduan Kuching dan PPIS Manjeet Sidhu berkata, program berkenaan merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menawarkan pelbagai perkhidmatan penting kesihatan.
Katanya lagi, enam agensi atau pertubuhan yang turut sama memeriahkam lagi kem mini berkenaan termasuklah Borneo Medical Centre (BMC), Hospital Umum Sarawak, Kingdom Pharmacy dan banyak lagi.
“Kem mini ini menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan penting secara percuma, antaranya termasuklah derma darah, pendaftaran ikrar organ, pemeriksaan kesihatan, serta demonstrasi produk kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Katanya, selain pemeriksaan tekanan darah, ujian glukosa melalui tusukan jari dan pengiraan Indeks Jisim Tubuh (BMI), terdapat juga khidmat nasihat pemakanan serta pelbagai lagi perkhidmatan kesihatan lain yang dilakukan secara percuma.
Sementara itu, esok, katanya, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan turut memperkenalkan ujian HPV DNA sebagai salah satu kaedah pemeriksaan kanser wanita.
Ujian ini membolehkan wanita melakukan sampel sendiri untuk mengesan 14 jenis human papillomavirus (HPV), dengan tumpuan kepada jenis 16 dan 18 yang terkenal dengan risiko tinggi.
Oleh Nickelyson Lakun