KANOWIT, 31 Oktober: Seramai 204 pelajar dari dua sekolah rendah di daerah ini diberi pendedahan mengenai trend dan modus operandi terkini jenayah komersil menerusi program Ceramah dan Pameran Pencegahan Jenayah Komersial sempena Program Perisai Diri Daerah Kanowit 2026.
Program anjuran Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Kanowit itu berlangsung di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Machan, melibatkan pelajar dari SK Nanga Machan dan SK Ulu Machan.
Ceramah disampaikan oleh Sjn Haryan Sufiyan Muhammad Abd Rahman daripada BSJKD Kanowit dengan kerjasama anggota BSJKD, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah (BPJKKD), Balai Polis Kanowit serta anggota Amanita Kanowit.
Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran warga sekolah mengenai pelbagai bentuk jenayah komersil, termasuk penipuan e-dagang, panggilan telefon palsu (phone scam), tawaran pinjaman tidak wujud dan kegiatan keldai akaun.
Selain itu, peserta turut diberi penerangan mengenai peranan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kepentingan melindungi maklumat peribadi dan kewangan.
Pendedahan berkenaan turut menekankan langkah pencegahan bagi mengelakkan pelajar dan warga sekolah daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Perkongsian maklumat itu diharap dapat membentuk masyarakat yang lebih peka dan berwaspada terhadap pelbagai taktik penipuan yang semakin berkembang.
Dalam pada itu, PDRM mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran mencurigakan serta membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Mangsa penipuan kewangan dalam talian turut dinasihatkan menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dengan segera.
Oleh Akun Giman




