KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan memperkenalkan pelbagai program baharu bertujuan meningkatkan jumlah populasi negara ini.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata berdasarkan satu survei yang dilakukan oleh kementeriannya, kadar kesuburan di negara ini masih rendah.
“Kalau mengikut survei kita, seorang wanita hanya melahirkan 1.6 anak. Jadi, kita masih lagi jauh. Bagaimanapun di peringkat Asia, kadar itu masih tinggi berbanding negara seperti Jepun, Singapura, Korea dan banyak lagi.
“Sebab itu, kami masih mengusahakan, dan mempunyai LPPKN untuk menjalankan aktiviti bagi membantu mereka yang ingin menambah anak, kita ada aktiviti dan juga makmal.
“Jadi kita ada macam-macam program untuk menggalakkan orang berkahwin dan mendapatkan anak, itulah usaha yang tidak dapat kami hentikan, banyak lagi yang akan datang (program) .
“Pada tahun depan, dapatlah kita dengar aktiviti-aktiviti yang kita belum buat sebelum ini, Insha-Allah kita akan buat, banyak perancangan kami, kami sudah memikirkan apa yang boleh kami lakukan untuk menggalakkan peningkatan penduduk ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan program Kesihatan dan Kesedaran Kesihatan Seksual Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) sempena Karnival Hari Keluarga Kesejahteraan dan Kesihatan Remaja di Surau Darul Muttaqin Kampung Sourabaya di sini, hari ini.
Mengulas mengenai program tersebut, beliau percaya melalui penganjuran program Kesihatan dan Kesedaran Kesihatan Seksual ini boleh memberi penjelasan yang lebih mendalam kepada masyarakat tempatan berhubung masalah pergaulan bebas dalam kalangan orang muda.
“Program ini seharusnya memudahkan orang kampung untuk lrbih memahami sebab penerangan dilakukan secara peribadi,” jelasnya.
Oleh Shahrul Qaizat