PETALING JAYA, 31 Oktober: Dua dekad selepas mencipta fenomena dalam dunia teater muzikal tempatan, Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) kembali membawa magisnya ke pentas, yang bukan hanya membangkitkan nostalgia, tetapi juga menawarkan pengalaman visual dan persembahan memukau.
Karya ikonik terbitan Enfiniti Productions itu membuka tirainya secara rasmi di The Grand Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), di sini hari ini, dengan sentuhan Puan Sri Tiara Jacquelina yang kembali mengemudi naskhah berkenaan, kali ini sebagai penerbit merangkap pengarah.
Seawal babak pembukaan, PGLM 2026 menarik perhatian menerusi pergerakan adegan yang pantas, susunan pentas yang dinamik serta gabungan elemen visual dan muzik yang membentuk sebuah dunia penuh magis.
Kehebatan produksi ini paling terserlah menerusi rekaan set yang megah, khususnya latar mistik Gunung Ledang dengan struktur pentas bertingkat yang memanfaatkan ilusi pencahayaan moden bagi menggambarkan aliran air terjun sebagai latar pertemuan dua watak utama, Gusti Putri dan Hang Tuah.
Peralihan latar daripada keraton Majapahit kepada istana Melaka pula dilakukan dengan begitu kemas, disokong rekaan busana yang indah dan teliti, sekali gus membawa penonton menyelami suasana zaman silam dengan lebih berkesan.
Kekuatan visual itu diperkukuh menerusi permainan pencahayaan yang bukan sekadar berfungsi sebagai elemen teknikal, sebaliknya menjadi medium penting dalam membina emosi, ketegangan dan suasana setiap babak.
Antara adegan yang mencuri perhatian ialah kemunculan Gusti Putri ketika berlayar merentasi lautan di atas sebuah kapal, dengan gabungan visual moden dan lakonan pentas yang menghasilkan ilusi perjalanan yang cukup meyakinkan.
Di sebalik kemegahan produksi, kekuatan PGLM 2026 turut terletak pada keupayaan barisan pelakonnya menghidupkan setiap karakter menerusi lakonan, vokal dan gerak tubuh yang saling melengkapi.

Arahan Tiara memberikan ruang kepada pelakon sokongan dan penari untuk menyerlahkan kemampuan masing-masing, menjadikan setiap babak lebih bertenaga dengan koreografi yang tersusun, ekspresi wajah yang berkesan serta keharmonian nyanyian yang mewarnai keseluruhan pementasan.
Antara tarikan utama sudah pastinya watak Gusti Putri Retno Dumilah yang digalas secara bergilir oleh Aisha Retno dan Mila Mohsin.
Aisha membuktikan pemilihannya sebagai antara wajah baharu yang menggalas watak ikonik itu tidak sia-sia apabila tampil dengan vokal mantap, kawalan suara yang baik serta penghayatan mendalam, khususnya ketika menyampaikan lagu dalam bahasa Jawa.
Keupayaannya menghayati bait-bait nyanyian dengan penuh emosi memberikan dimensi tersendiri kepada watak puteri dari Majapahit itu, sekali gus menghidupkan sisi keanggunan, ketegasan dan pergolakan perasaannya.
Mila pula tidak kurang hebat apabila menampilkan interpretasi Gusti Putri dengan pendekatan tersendiri, sekali gus memperlihatkan kematangan dan keyakinan, selain membuktikan bahawa watak tersebut mampu diberikan nafas berbeza tanpa perlu terikat dengan interpretasi terdahulu.
Kedua-duanya berjaya membina karakter Gusti Putri dengan identiti masing-masing tanpa dibayangi atau sekadar meniru gaya Tiara yang cukup sinonim dengan watak legenda berkenaan.
Mila, anak sulung Tiara, turut memperlihatkan kemampuan lakonan dan lontaran vokal yang meyakinkan, terutama dalam babak penting bersama-sama Aqasha yang memegang watak Hang Tuah di atas pelantar air terjun.
Aqasha pula berjaya menghidupkan karakter pahlawan Melayu itu dengan karisma tersendiri menerusi ketangkasan aksi silatnya dalam adegan pertempuran yang menyerlahkan keperibadiannya sebagai seorang laksamana yang gagah dan berwibawa, selain memperlihatkan sisi romantis Hang Tuah melalui bahasa tubuh yang lebih lembut ketika bersama-sama dengan Gusti Putri.
Kematangan lakonannya turut terserlah ketika menggambarkan konflik Hang Tuah yang tersepit antara kesetiaan kepada raja dengan cinta yang berputik terhadap puteri Majapahit itu, disokong kawalan vokal yang mantap sekali gus memperkukuh penghayatan terhadap dilema yang menjadi nadi penceritaan.
Dalam kelompok watak sampingan, Mimi Fly mencuri perhatian menerusi penampilannya sebagai Nenek Kebayan apabila berjaya melakukan transformasi daripada persona lincah yang biasa dilihat penonton, kepada karakter wanita tua dengan tubuh bongkok, tawa sinis dan suara serak, sekali gus memperlihatkan kesungguhannya dalam menghayati watak tersebut.
Nadia Aqilah turut menyerlah sebagai Bayan menerusi mutu lakonan dan lontaran suara yang mantap, manakala Yusuf Hashim memberikan persembahan meyakinkan sebagai Gusti Adipati dengan penghayatan watak yang berkesan, sementara Luqman Hafidz pula berjaya menggalas peranan Sultan Melaka dengan baik.
PGLM 2026 menutup tirai dengan babak penuh emosi antara Hang Tuah dan Gusti Putri, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada penonton sebelum persembahan berakhir disambut tepukan gemuruh.
Secara keseluruhan, kepulangan PGLM membuktikan sebuah karya yang kuat tidak hanya bergantung pada nostalgia, sebaliknya memerlukan keupayaan untuk terus berkembang tanpa kehilangan identiti asalnya.
Pementasan PGLM 2026 dijadual berlangsung mulai hari ini hingga 15 Nov depan.- Bernama





