KELAB Sukan & Rekreasi Anak-Anak Samarahan (KSRAAS) komited untuk memperbanyakan penganjuran program sukan khususnya di Bahagian Samarahan.
Presiden KSRAAS, Dato Rahman Lariwoo memberitahu, usaha ke arah itu adalah menjadi fokus utama pihaknya mengambil kira kredit dimiliki Bahagian Samarahan yang mempunyai kemudahan sukan serta reputasi kawasan terbabit yang ramai melahirkan individu yang berjaya mencipta nama dalam pelbagai acara sukan.
“Kita sebagai badan induk mahu fokus kepada program sukan yang pelbagai. Bukan sahaja mahu menganjurkan sukan utama, malah mencakupi sukan-sukan lain termasuk sukan tradisional dan sebagainya,” ujar beliau ketika ditemui semalam.
Sambil memberi bayangan pengelolaan program sukan bakal dilaksanakan itu bukan sahaja tertumpu kepada peringkat umur tertentu sahaja.
Ia bahkan meliputi generasi muda termasuk di peringkat akar umbi atau dengan kata lainnya program sukan untuk kanak-kanak.
Menurut Dato Rahman, cadangan awal ialah melaksanakan program berkenaan pada Oktober nanti.
“Apa pun kita berharap situasi yang menimbulkan kegelisahan umum ketika ini pulih sepenuhnya dan membolehkan kami melaksana program sukan seperti yang dirancang,” tambahnya.
Beliau turutmemberi bayangan bakal mengadakan Sukan Rakyat antara agenda utama dalam radar pihaknya untuk dilaksanakan nanti.
KSRAAS turut dianggota beberapa exco lain seperti Mohammad Khir Ibrahim (Timbalan Presiden KSRAAS) serta Dayangku Rafahah Awang Julai (Setiausaha) dan Hamzah Kok (Bendahari KSRAAS).
Oleh Faizal Bujang