GEORGE TOWN: Enggan kempunan lagi, skuad kabaddi Pulau Pinang kini tampil lebih bersedia dengan diperkuatkan oleh empat atlet kebangsaan bagi menghadapi saingan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak bulan depan.
Jurulatih kabaddi Pulau Pinang, Jaggen Rajadran berkata, empat atlet berkenaan ialah Mogesvaran Murugesan, 21, Darshanaa Kumaran, 18 (wanita), Vijayprassa Selvam, 21 dan Yugaruben Kumaran, 20 akan bergandingan dengan 20 lagi atlet lelaki dan wanita berusia 18 hingga 21 tahun.
Beliau yang mengambil alih pasukan sejak lapan bulan lepas berkata kali ini, skuad kabaddi Pulau Pinang sama ada lelaki atau wanita, dilengkapkan dengan kemahiran-kemahiran baharu selain bakal tampil dengan aksi yang lain dari lain.
“Tahun ini kita akan tunjuk aksi yang lain dari lain, pemain-pemain juga telah disediakan dengan kemahiran baharu dan tahun ini kita target untuk naik podium. Itu target saya sebagai jurulatih.
“Saya melihat skuad kabaddi Pulau Pinang menunjukkan banyak perubahan (dari segi positif) dan kami juga telah melakukan analisis untuk bersaing di Sarawak pada tahun ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi latihan di Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang di sini.
Jaggen yang juga bekas atlet kebangsaan berkata, Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Terengganu merupakan antara pencabar utama mereka pada temasya kali ini.
Presiden Persatuan Kabaddi Pulau Pinang, Arjunan Kandasamy berkata, kontinjen negeri itu akan menghantar 24 atlet terdiri daripada masing-masing 12 lelaki dan wanita pada temasya di Sarawak.
Beliau berkata, skuad kabbadi telah menjalani latihan secara serius sejak enam bulan lepas dan akan berkampung selama dua minggu bermula 1 Ogos untuk ‘berguru’ dengan jurulatih kebangsaan K. Palanisamy.
“Ada empat orang atlet kebangsaan menyertai pasukan lelaki dan wanita. Mereka telah pergi ke Iran, Bangladesh dan Bali, Indonesia. Ini akan membantu skuad Pulau Pinang untuk bersaing dengan lebih baik pada tahun ini,” katanya.
Berdasarkan prestasi pasukan negeri dalam kejohanan di Melaka, Kuala Lumpur dan Kedah baru-baru ini, Arjunan yakin Pulau Mutiara dapat menyerlah dalam SUKMA tahun ini dan meraih pingat bagi acara lelaki dan wanita.
Arjunan berkata, atlet juga boleh menjadikan kesukaran mereka dalam persediaan ke SUKMA 2024 sebagai pembakar semangat untuk mencapai kejayaan lebih gemilang pada temasya dwitahunan kebangsaan itu nanti.
“Kebanyakan mereka (atlet) tinggal di seberang dan terpaksa menggunakan pengangkutan awam untuk ke MSN yang telretak di bahagian pulau untuk menjalani latihan. Pasukan kabaddi juga baru menerima ‘Kabaddi Mat’ untuk berlatih,” katanya.
Sementara itu, Mogesvaran berkata, beliau sedia berkongsi teknik-teknik yang dipelajari daripada pasukan negara bagi memastikan Pulau Pinang mampu menjadi pencabar kepada negeri lain pada pertandingan kali ini.
“Kami akan berikan yang terbaik dan latihan masih berjalan. Saya memang yakin tahun ini dapat naik podium untuk menerima pingat. Tidak kira warna apa, janji pingat dalam genggaman kami,” kata pelajar Goon International College itu.
Untuk rekod, pasukan Kabaddi Pulau Pinang pulang tangan kosong pada edisi lepas, menyaksikan Selangor meraih pingat emas kategori lelaki manakala Wilayah Persekutuan dalam kategori wanita.
Saingan kabaddi yang menawarkan dua pingat emas masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita, akan berlangsung di Dewan Masyarakat Lundu dari 20 hingga 23 Ogos. – Bernama