SIMANGGANG: Pemandu dan kelindan nyaris maut apabila lori muatan baja ayam yang dinaiki terbabas di Bukit Begunan, Jalan Sri Aman-Serian, malam kelmarin.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, PPgB William Baheng berkata, mangsa yang dikenali, Aling Jimbai, 52, tersepit di bahagian pemandu berjaya dikeluarkan orang awam yang berada di lokasi.
Manakala kelindan, Matheus Aling, 22, berjaya keluar dari lori tersebut semasa kejadian berlaku.
“Pihak kami menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar 8.49 malam sebelum mengerakkan pasukan BBP Sri Aman yang diketuai oleh PBK II, Chimiam Duyu ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kemalangan melibatkan sebuah lori penghantaran yang membawa muatan baja ayam, dipercayai hilang kawalan dan terbabas di sebelah kanan bahu jalan semasa menuruni Bukit Begunan,” katanya.
William berkata, anggota bomba telah bertindak memindahkan mangsa di tempat yang selamat dan membuat penstabilan dan pemeriksaan awal terhadap mangsa yang mana mangsa mengalami keadaan trauma dan sedar ketika diberi rawatan awal.
Tambahnya, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sri Aman dengan menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk tindakan selanjutnya.
Oleh Adi Safarman