KUCHING: Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Yayasan Peneraju (YP) menjalin kolaborasi strategik bagi menyediakan sokongan dalam usaha ke arah pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerusi Program SME Digitise!.
SDEC menerusi satu kenyataan berkata, kolaborasi itu merangkumi program bantuan kewangan dan latihan komprehensif yang dilaksanakan selama setahun.
”Program ini bertujuan untuk melengkapkan peserta PKS yang mempunyai kemahiran digital untuk meningkatkan kecekapan operasi dan daya saing mereka.
”Selain itu, program ini menyasarkan peningkatan maksimum 15 hingga 30 peratus dalam penjanaan hasil untuk PKS dalam tempoh satu tahun penyertaan,” jelas kenyataan itu.
Berucap ketika merasmikan program itu, Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib berkata program seperti itu mencerminkan usaha bersepadu kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Sarawak dalam menyokong perniagaan tempatan melalui inisiatif e-dagang.
Menurutnya, beliau percaya bahawa program itu akan memberi impak positif kepada PKS sekali gus menjadikan mereka lebih berdaya saing dan memberi peluang kepada produk tempatan untuk mengakses pasaran global.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Ir. Ts. Sudarnoto Osman berkata pelaksanaan program itu penting bagi merealisasikan usaha pendigitalan kerajaan.
Selain itu, Sudarnoto mengumumkan pembinaan Digital yang sedang berjalan iaitu Hab Inovasi (DIH) di Mukah yang dijangka siap pada penghujung suku ketiga tahun ini.
”Usaha ini adalah penting untuk membangunkan perusahaan dan bakat Bumiputera yang berdaya saing, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang negara,” tambahnya.