KUCHING: Nasib dua keluarga miskin yang tinggal di dalam kontena usang di Jalan Kuap, Batu 10 di sini, mendapat perhatian Kerajaan Sarawak dan dipindahkan sementera waktu ke sebuah rumah kedai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang semalam mengadakan lawatan dan melawat ke dua buah kontena yang dijadikan kediaman oleh dua keluarga tersebut bagi tujuan membantu mereka mencari tempat tinggal.
“Mereka akan ditempatkan sementara di sebuah rumah kedai di kawasan Batu 7 dengan sewanya akan dibiayai oleh saya di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang.
“Mereka juga akan ada tempat yang bersih dengan kelengkapan rumah serta mempunyai bekalan air dan elektrik dan dalam masa yang sama memudahkan mereka menjaga anak-anak dalam persekitaran yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas melawat kekeluarga terbabit semalam.
Lo yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) berkata, beliau menzahirkan rasa gembira kerana dapat membantu keluarga terbabit dan juga sudah berjumpa dengan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak bagi membantu menyediakan tempat untuk disewakan kepada keluarga ini.
“Harga sewaan juga sangat berpatutan iaitu tidak sampai RM150 sebulan. Di sana akan lebih baik dari sini sebab ada air, elektrik dan kita juga akan menjaga makanan mereka,” jelasnya.
Lo juga mengucapkan terima kasih kepada beberapa individu yang menyalurkan bantuan kepada dua buah keluarga itu termasuk menyumbangkan makanan, wang dan keperluan harian.
“Tidak dinafikan memang terdapat banyak keluarga serupa dan bernasib kurang baik sebegini di dalam masyarakat kita.
“Kita berharap semua orang dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik ini untuk mengatasi kesulitan yang mereka hadapi,” tambahnya.
Turut hadir Ketua Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kecil Batu 7 (N13 Batu Kitang) Suzzilawati Suhaili.
Oleh Cheryl Law