PETRA JAYA: Sebanyak 88 klinik swasta telah dikenalpasti dan dilantik sebagai Klinik Panel yang akan memberikan bantuan Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) di seluruh Sarawak bermula 1 Julai ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, setiap warga emas yang berusia 60 ke atas bagi kategori B40 dan M40 yang berpendapatan isi rumah bulanan RM7,000 dan ke bawah akan mendapat bantuan kesihatan sebanyak RM500.
“Antara klinik yang terlibat ialah di Kuching sebanyak 37 buah, Samarahan (5), Serian (2), Sri Aman (5), Betong (1), Sarikei (3), Sibu (6), Mukah (2), Kapit (1), Bintulu (3), Miri (20) dan Limbang (3),” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat SCHB di Bangunan Baitul Makmur II, hari ini.
Katanya lagi, warga emas yang layak SCHB boleh mendapatkan perkhidmatan perubatan pesakit luar di Klinik Swasta (Pengamal Am) untuk masalah kesihatan seperti demam dan selsema, sakit kepala, cirit birit dan muntah, terseliuh, iritasi ringan pada kulit (alergik/gatal), gout, trauma ringan seperti luka ringan dan lain-lain.
“Dan di klinik gigi seperti cabutan, tampalan, gigi palsu (minimum caj pembuatan gigi palsu adalah RM250). Perkhidmatan ini tidak melebihi RM500,” katanya.
Bagaimanapun, perkhidmatan tersebut tidak termasuk rawatan susulan bagi Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) rutin seperti darah tinggi, kencing manis; rawatan susulan penyakit-penyakit kronik; saringan kesihatan yang memerlukan sampel untuk dihantar ke ujian makmal; Tele Perubatan atau Tele Medicine (perkhidmatan penjagaan kesihatan maya)- pesakit atau warga emas mesti hadir secara fizikal untuk mendapatkan konsultasi dan rawatan di klinik, 5. Rawatan estetik untuk kecantikan dan penggunaan ambulans.
“Permohonan SCHB bagi fasa pertama ialah untuk penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) yang berumur 60 ke atas, senarai e-Kasih dan semakan dalam talian boleh dilakukan bermula 1 Julai 2024.
“Dalam pada itu, untuk fasa kedua, pendaftaran permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang JKMS atau mengisi boring permohonan di kanter Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian atau Daerah berdekatan di Sarawak sahaja,” katanya lagi.
Syarat kelayakan SCHB ialah warga emas berusia 60 ke atas, warganegara Malaysia yang merupakan pemegang kad pengenalan berstatus ‘K’; berpendapatan bulanan isi rumah RM7,000.00 dan ke bawah; Pemegang Kenyalang Gold Card; dan tidak mendapat pembiayaan atau perlindungan rawatan pesakit luar daripada mana-mana agensi lain.
Sekiranya pemohon yang layak telah menggunakan sepenuhnya bantuan RM500, mereka perlu mula membayar kos rawatan mereka sendiri sehingga peruntukan tahun berikutnya dimasukkan ke dalam akaun mereka.
Ini adalah sebahagian daripada perkhidmatan sokongan kerajaan Sarawak untuk warga emas dengan memberikan mereka alternatif untuk menerima rawatan di klinik swasta daripada menghadapi tempoh menunggu yang panjang di klinik kerajaan.
Oleh Nur Ain Otsman