SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Sarawak disaran mempergiatkan usaha membantu kerajaan dalam membanteras penyalahgunaan dadah.
Menteri Kebajikan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pemimpin masyarakat telah dilantik untuk mengetuai Jawatankuasa Sehenti (OSC) di peringkat akar umbi boleh menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
“Mereka (pemimpin masyarakat) tidak perlu takut untuk melaporkan aktiviti penyalahgunaan dadah, kerana OSC merangkumi pelbagai agensi seperti agensi antidadah dan polis,” katanya ketika merasmikan Bengkel Pelan Tindakan Bebas Dadah Daerah Sibu, hari ini.
ADUN Dalat itu berkata, agensi di OSC merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini bekerja secara kolaboratif dan holistik untuk menangani isu dadah.
“Dadah adalah musuh utama negara sehingga membawa kepada pelbagai masalah sosial. Strategi seterusnya adalah memastikan kesedaran berterusan tentang bahaya dadah.
“Kita mungkin tidak dapat mencapai komuniti bebas dadah sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya kita perlu mengurangkannya,” ujarnya.
Tambahnya, pendekatan lain ialah memulihkan individu dan memberi mereka geran perniagaan untuk menjana pendapatan.
Sementara itu, Pegawai Daerah Sibu, Khalid Andong memberitahu, jumlah Orang Kena Pengawasan (OKP) oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi dadah di Sibu telah menunjukkan peningkatan tahun ini, berbanding tahun lalu.
Katanya, berdasarkan statistik AADK Daerah Sibu, jumlah OKP tahun ini adalah seramai 204 orang setakat Mei 2024.
“Jumlah itu meningkat mendadak berbanding tempoh sama pada 2023 yang hanya mencatatkan 138 orang.
“Berdasarkan statistik terkini Jabatan Siasatan Jenayah Sibu, jumlah tangkapan pengedar dan penagih dadah masing-masing sebanyak 39 dan 352 orang setakat Mei 2024,” ujarnya.
Turut hadir ialah Residen Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman.
Oleh Akun Giman