Hospital Bintulu perlu kemudahan rawatan khusus seiring penambahan katil

Facebook
WhatsApp
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Kesihatan Bahagian Bintulu 2026 di sebuah hotel di Bintulu semalam.

BINTULU, 16 November: Penyediaan kemudahan rawatan khusus perlu menjadi sebahagian daripada perancangan peluasan Hospital Bintulu yang dicadangkan melibatkan penambahan 500 katil bagi memastikan kapasiti hospital itu seiring dengan keperluan rawatan penduduk.

Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing berkata, antara kemudahan yang perlu diberi perhatian ialah perkhidmatan hemodialisis, rawatan buah pinggang dan unit rawatan kebakaran.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu, keperluan berkenaan perlu dikenal pasti sebelum projek pembangunan dilaksanakan bagi mengelakkan kekurangan kemudahan apabila hospital beroperasi dengan kapasiti tambahan kelak.

Beliau turut meminta pengurusan hospital bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk meneliti aspek pembangunan yang masih memerlukan penambahbaikan.

“Jangan tunggu sehingga sesuatu masalah berlaku, baru kita hendak bertindak.

“Saya mahu pihak hospital mengenal pasti keperluan ini lebih awal. 

“Jika terdapat kesukaran untuk mengemukakannya, maklumkan kepada saya dan saya akan membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Penghargaan Kesihatan Bahagian Bintulu 2026 di sebuah hotel di sini, semalam.

Selain pembangunan infrastruktur hospital, Tiong mahu pendekatan penyampaian perkhidmatan kesihatan turut mengambil kira cabaran geografi yang dihadapi penduduk di kawasan pedalaman.

Katanya, pasukan kesihatan perlu mempergiat lawatan ke rumah panjang dan kawasan terpencil supaya penduduk tidak perlu sentiasa bergantung kepada kemudahan kesihatan di bandar untuk mendapatkan rawatan.

DATO Sri Tiong King Sing bersama tetamu jemputan lain menyempurnakan acara simbolik pada Majlis Makan Malam Penghargaan Kesihatan Bahagian Bintulu 2026 di sebuah hotel di Bintulu, semalam.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Datuk Dr. Melvin Chung Hsien Liang berkata, penggunaan teknologi dan pendigitalan merupakan antara pendekatan yang akan diberi tumpuan bagi meningkatkan capaian perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar.

Beliau menyasarkan pembangunan sistem kesihatan digital Bintulu dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menghubungkan klinik luar bandar dengan pusat rujukan utama, sekali gus memudahkan perkongsian rekod dan maklumat pesakit.

Usaha memperluas penggunaan teknologi dalam perkhidmatan kesihatan turut dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Press Metal yang menyediakan peralatan sinar-X mudah alih berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk saringan tuberkulosis (TB).

“Sejak 2024, lebih 6,400 orang telah menjalani saringan dan sebanyak 62 kes TB berjaya dikenal pasti lebih awal,” katanya.

Dr. Melvin berkata, Klinik Kesihatan Sungai Asap yang mengadaptasi konsep hospital kecil turut membantu mengurangkan kebergantungan penduduk luar bandar terhadap fasiliti kesihatan di bandar kerana pemerhatian, diagnosis dan rawatan boleh dilakukan di klinik berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu menerima Anugerah Pejabat Kesihatan Bahagian Terbaik Peringkat Kebangsaan 2026.

Hospital Bintulu pula tersenarai dalam Hospital Terbaik Dunia oleh Newsweek bagi dua tahun berturut-turut, iaitu pada 2025 dan 2026.

Oleh Carolyne Utih