MIRI, 16 November: Golongan belia dan graduan di Sarawak digesa merebut peluang pekerjaan menerusi Program ILMU Connect Siri 2026 yang menyediakan platform pertemuan secara langsung antara pencari kerja dengan majikan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, program itu merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk memperluas akses pekerjaan, khususnya kepada golongan belia dan masyarakat luar bandar.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu berkata, sesi temu duga terbuka yang disediakan sepanjang program dua hari itu memberi peluang kepada pencari kerja mendapatkan pekerjaan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada permohonan secara dalam talian.
“Anak-anak Sarawak mempunyai potensi, kelayakan dan kemahiran untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
“Saya berharap pihak majikan dapat memberikan keutamaan dan peluang sewajarnya kepada tenaga kerja tempatan,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Program ILMU Connect Siri 2026 di sini hari ini.
Program yang berlangsung hari ini dan esok itu turut membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat kekosongan jawatan serta berinteraksi dengan wakil majikan dan agensi berkaitan.
Katanya, pencari kerja perlu mengambil inisiatif meningkatkan kemahiran, memperkukuh pengetahuan dan membuat persediaan rapi bagi memenuhi keperluan industri.
Beliau turut berharap pendekatan membawa peluang pekerjaan terus kepada masyarakat seperti ILMU Connect dapat diperluaskan ke kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan pembangunan ekonomi Sarawak turut memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat tempatan menerusi peluang pekerjaan dan pembangunan kerjaya.
Oleh Liong Chai Ling




