BDA tawar diskaun 50 peratus tunggakan kesalahan letak kereta

Facebook
WhatsApp
DATU Muhamad Yakup Kari (tengah) bersama Inspektor Edwin Langit Jaul, Ahmad Ghazi Ariffin, Sharpini Daud danFedrick Kedo menunjukkan poster Kempen Diskaun 50 Peratus Tunggakan Kesalahan Letak Kereta pada majlis pelancaran kempen itu di Taman Koridor Parkcity Commerce Square, Bintulu, hari ini.

BINTULU, 16 November: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) melancarkan Kempen Diskaun 50 Peratus Tunggakan Kesalahan Letak Kereta bagi memberi peluang kepada pemilik kenderaan menyelesaikan tunggakan kompaun pada kadar bayaran lebih rendah.

Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari berkata, kempen selama sebulan bermula hari ini hingga 16 Disember 2026 itu menawarkan pengurangan sebanyak 50 peratus bagi tunggakan kompaun kesalahan meletak kenderaan.

“Inisiatif berkenaan bertujuan meringankan beban kewangan pemilik kenderaan, selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mematuhi peraturan tempat letak kereta di kawasan pentadbiran BDA,” katanya pada majlis pelancaran kempen itu disempurnakan oleh Datu Muhamad Yakup di Taman Koridor Parkcity Commerce Square, di sini, hari ini.

Tambahnya, bagi menikmati tawaran tersebut, pemilik kenderaan perlu menjelaskan keseluruhan tunggakan dalam tempoh kempen berkenaan.

Pembayaran boleh dibuat di Bilik 005, Kaunter Pusat Sehenti (One Stop Centre), Pejabat PERBINDA, BDA.

Dalam perkembangan berkaitan, BDA turut meneroka cadangan pelaksanaan sistem MyParkingAlert bagi memudahkan urusan semakan dan pemantauan tunggakan menerusi pendigitalan perkhidmatan pengurusan tempat letak kereta.

Pelaksanaan sistem itu diharap dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada orang awam.

Turut hadir Inspektor Edwin Langit Jaul yang mewakili Ketua Polis Daerah Bintulu, Pemangku Penolong Pengurus Besar (Perkhidmatan Environmen) BDA, Ahmad Ghazi Ariffin, Sharpini Daud yang mewakili Residen Bahagian Bintulu serta Ketua Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bintulu, Fedrick Kedo.

Oleh Carolyne Utih