SARIKEI: Setiap pelajar membabitkan dua sekolah dalam Parlimen Sarikei masing-masing menerima dua helai pakaian dan sepasang kasut sekolah menerusi pelaksanaan program kebajikan pendidikan Ahli Parlimen Sarikei Datoʼ Sri Huang Tiong Sii, baru-baru ini.
Penerima sumbangan ini melibatkan seramai 824 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei.
Selain itu, 660 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) St Anne.
Tiong Sii ketika dihubungi pemberita Utusan Sarawak hari ini berkata, program tersebut merupakan bantuan kepada komuniti setempat dan berharap agar dapat meringankan bebanan ibu bapa kepada pelajar.
Jelas Tiong Sii yang amat menitikberatkan soal pendidikan khususnya di Parlimen Sarikei, semua pihak perlu memberi kerjasama dalam meningkatkan prestasi sekolah sama ada dalam akademik dan sukan.
Ini termasuk ibu bapa dan guru serta pelajar di dalam akademik dan sukan supaya pada masa akan datang akan terlahirnya generasi berkualiti.
Sehubungan itu, katanya lagi, dengan sumbangan ini berharap para pelajar akan menumpukan perhatian sepenuhnya dalam bidang pendidikan untuk masa depan.
Hadir bagi mewakili Tiong Sii yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok ialah Kapitan Ling Dien Yong.
Oleh Earl Anek