KUCHING, 16 November: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin mencabar pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak supaya memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan peruntukan pembangunan yang adil daripada Kerajaan Persekutuan, bukannya terus mengkritik projek infrastruktur yang dibiayai kerajaan Sarawak.
Wilfred yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa berkata, beliau kesal apabila wakil DAP terus mempersoalkan pelaksanaan projek infrastruktur utama oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tanpa mengemukakan alternatif atau penyelesaian yang praktikal.
“Terdapat perbezaan asas antara melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang secara bertanggungjawab dengan menentang kemajuan secara keseluruhan.
“Ketika DAP memberi tumpuan kepada sidang media dan kritikan politik, GPS berusaha mendapatkan pembiayaan, membina infrastruktur serta melaksanakan pembangunan untuk rakyat Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas pembangunan infrastruktur strategik, Wilfred merujuk kepada beberapa projek utama termasuk sistem Transit Aliran Automasi (ART) Kuching, cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu serta pembangunan pelabuhan laut dalam.
Menurutnya, projek berkenaan dibiayai menggunakan sumber kewangan kerajaan Sarawak sendiri bagi mempercepat pembangunan negeri.
Beliau turut mempersoalkan apa yang disifatkannya sebagai sikap dwistandard DAP apabila projek infrastruktur berskala besar yang mendapat pembiayaan Persekutuan di Semenanjung Malaysia tidak menerima kritikan serupa.
“Apabila kerajaan Sarawak menggunakan sumber kewangan sendiri untuk mempercepat pembangunan supaya rakyat tidak perlu menunggu berdekad-dekad bagi menikmati kemudahan perhubungan moden, DAP pula melabelkan projek berkenaan sebagai tidak perlu.
“Mengkritik pembangunan tanpa menawarkan alternatif yang membina bukanlah pendekatan semak dan imbang yang bertanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, Wilfred mencabar Ahli Parlimen DAP supaya menjelaskan usaha mereka bagi memastikan Sarawak menerima bahagian peruntukan pembangunan Persekutuan yang lebih adil, mengambil kira keluasan negeri serta kos pembinaan infrastruktur yang lebih tinggi, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata, Sarawak merangkumi 37.6 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah Malaysia, sekali gus memerlukan pendekatan pengagihan peruntukan yang mengambil kira cabaran geografi negeri ini.
“Membina satu kilometer jalan raya, sebuah klinik atau sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak melibatkan kos yang jauh lebih tinggi disebabkan bentuk muka bumi serta cabaran geografi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa wakil rakyat DAP memperjuangkan pengagihan peruntukan pembangunan Persekutuan yang lebih adil dan berasaskan keperluan sebenar, termasuk mengambil kira keadaan geografi serta keperluan infrastruktur Sarawak.
Mengimbas tempoh DAP menjadi sebahagian daripada pentadbiran Kerajaan Persekutuan antara 2018 hingga 2020, Wilfred mendakwa beberapa projek jambatan utama, termasuk Jambatan Batang Lupar, Batang Igan, Batang Rambungan dan Batang Kemena, telah dibatalkan atau tertangguh.
Katanya, keadaan itu menyebabkan kerajaan GPS terpaksa mengambil alih tanggungjawab pembiayaan projek berkenaan menggunakan dana negeri.
“Rakyat Sarawak tidak boleh bergantung kepada slogan politik semata-mata.
“Perwakilan rakyat yang sebenar diukur melalui pembangunan mampan, penyelesaian praktikal serta keupayaan membawa pulang sumber untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat,” katanya.
Wilfred turut menggesa pemimpin DAP Sarawak mengetepikan perbezaan politik kepartian dan bekerjasama bagi memastikan Kerajaan Persekutuan menunaikan tanggungjawabnya selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau juga mahu tindakan lebih pantas diambil oleh Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf sekolah daif, kemudahan kesihatan serta jalan Persekutuan di seluruh Sarawak.
Oleh Connie Chieng




