RM293,000 bina gelanggang bola tampar baharu SJK (C) Uk Daik

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Gelanggang Bola Tampar Baharu SJK (C) Uk Daik di Sibu, hari ini.

SIBU,16 November: Pembinaan gelanggang bola tampar baharu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Uk Daik bernilai RM293,000 mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan sukan dan pendidikan murid.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang berkata, kecemerlangan akademik dan pembangunan sukan perlu bergerak seiring bagi melahirkan murid yang mempunyai pendidikan seimbang.

“Apabila kita melihat potensi dan harapan bahawa sukan bola tampar mampu memberikan nilai tambah kepada pendidikan di SJK (C) Uk Daik, pihak pengurusan dan lembaga sekolah mengambil keputusan untuk meneruskan projek ini. Kami turut tampil membantu merealisasikan pembinaan gelanggang bola tampar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Gelanggang Bola Tampar Baharu SJK (C) Uk Daik di sini, hari ini.

Menurutnya, projek Fasa Satu itu pada mulanya dilihat sukar direalisasikan, namun kesungguhan pihak pengurusan sekolah serta sokongan pelbagai pihak membolehkan perancangan berkenaan menjadi kenyataan.

Katanya, kemudahan sukan yang bersesuaian penting bagi memberi peluang kepada murid mengembangkan bakat dan kebolehan masing-masing, sekali gus mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan.

Tiang turut mengingatkan generasi masa kini supaya meneruskan legasi generasi terdahulu masyarakat Cina yang telah banyak berusaha membangunkan institusi pendidikan, khususnya pendidikan Cina, demi melahirkan bakat yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Beliau berkata, pembinaan gelanggang berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan Fasa Dua merangkumi pembinaan bumbung bagi melengkapkan kemudahan tersebut.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada pelaksanaan projek berkenaan dan menyifatkan kejayaannya sebagai hasil usaha bersama.

Secara peribadi, Tiang berkata SJK (C) Uk Daik mempunyai nilai sentimental baginya kerana sekolah itu merupakan bekas sekolah rendah isteri beliau.

Beliau secara berseloroh turut berterima kasih kepada pihak sekolah kerana berjaya melahirkan seorang individu hebat yang akhirnya menjadi isterinya.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Penghulu Lau Hieng Wong dan Kaunselor Kevin Lau.

Oleh Tarani Lanting