SIMANGGANG: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis optimis skuad tinju Sarawak mampu membolot 16 pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 yang diadakan di Bandar Simanggang nanti.
Beliau berkata, sasaran itu tidak mustahil digapai memandangkan Sarawak menjadi tuan rumah pada edisi kali ini.
“Oleh itu, saya memohon berilah kerjasama, berilah sokongan yang padu supaya atlet-atlet Sarawak kita akan mencapai kejayaan sekaligus membolot emas dalam 16 kategori yang dipertandingkan.
“Dengan sokongan yang padu dan sokongan yang kuat, saya percaya kita akan dapat menang kesemua 16 pingat tersebut,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Larian Baton SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Tebingan Sungai Batang Lupar, hari ini.
Harden berkata beliau berterima kasih kepada Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah kerana telah meluluskan peruntukan bagi menaik taraf Dewan Kompleks Sukan Sri Aman yang telah terpilih sebagai lokasi pertandingan bagi sukan tinju SUKMA yang diadakan pada 16 hingga 23 Ogos nanti.
“Dengan kesempatan ini, saya menyeru kepada semua warga Bahagian Sri Aman agar turut meraikan temasya berprestij ini dengan memberi sokongan padu kepada semua atlet yang bertanding di arena-arena lain yang berhampiran, tanpa mengira negeri asal mereka.
“Tunjukkan semangat kesukanan serta perpaduan yang tinggi sebagai rakyat Sarawak yang menyanjung semangat perpaduan yang tinggi,” katanya.
Temasya SUKMA pada tahun ini adalah merupakan SUKMA yang terbesar dalam sejarah penganjurannya kerana ia melibatkan sebanyak 37 sukan dengan 488 acara pertandingan dan seramai lebih kurang 12,000 orang atlet dan pegawai yang akan turut serta dalam SUKMA.
Bagi Para SUKMA XXI, ia akan diadakan di Bahagian Kuching sahaja dengan melibatkan 10 acara sukan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa, Ahli Parlimen Sri Aman Dato Sri Doris Sophia Brodi dan Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak, Datu Hii Chang Kee dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan turut hadir.
Oleh Adi Safarman